Copy & Paste dari page halalmoney.my
Boleh ataupun tidak kalau si ayah nak pindamilik tanah pertanian 2 ekar kepada 4 orang anaknya?
Saya pernah diajukan soalan lebih kurang begini.
“Ayah saya ada tanah pertanian seluas 2 ekar (dalam 1 geran). Saya ada 4 orang adik beradik. Boleh kah kalau ayah saya nak pindah milik kan tanah 2 ekar tu kepada 4 orang adik beradik saya?”
Jawapan saya:
Di bawah Kanun Tanah Negara, telah ditetapkan, untuk setiap satu ekar tanah pertanian yang mempunyai satu nama pemilik, ianya hanya boleh dipindahmilikkan kepada satu penerima pindahmilik sahaja.
Melainkan atas sebab turun milik akibat kematian. Dimana, jika berlaku kematian kepada pemilik, maka tanah tadi boleh di turun milik kepada lebih daripada seorang penama, tertakluk kepada bahagian-bahagian yang telah diputuskan dalam perintah pusaka.
Walau bagaimanapun dalam kes di atas, jika ayah ingin memindah milik kan 2 ekar tanah pertanian tersebut kepada anak-anaknya, dia hanya boleh memindah milik kan kepada 2 orang sahaja daripada 4 orang anaknya itu , di mana setiap orang akan memiliki 1 ekar seorang. Perkara ini mungkin tidak adil bagi kesemua anak-anaknya.
Apa cara yang terbaik?
Jadi cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut adalah, SI AYAH MELANTIK SALAH SEORANG DARIPADA ANAK-ANAKNA SEBAGAI PEMEGANG AMANAH.
Satu surat cara ikatan amanah perlulah ditandatangani oleh si ayah dan salah seorang anak tersebut sebagai pemegang amanah.
Surat ikatan amanah tersebut hendaklah di daftarkan di pejabat tanah sebagai rekod di kemudian hari. Dan satu nombor rujukan perserahan pejabat tanah akan direkodkan pada Surat Ikatan Amanah tersebut.
Si ayah kemudiannya akan memindah milikkan tanah tersebut kepada anaknya yang telah dilantik sebagai pemegang amanah tadi. Dalam geran tanah akan ditulis nama si anak sebagai pemegang amanah.
Dan sebagai pemegang amanah yang telah dilantik, beliau hendaklah bersifat adil, amanah dan jujur serta hendaklah mempastikan yang setiap adik beradik mendapat hasil dan manfaat yang sama daripada tanah tersebut.
Bagaimana untuk melindungi kepentingan adik beradik?
Untuk melindungi kepentingan adik beradik yang lain, mereka boleh memohon supaya satu kaveat pendaftar atau kaveat amanah dimasukkan ke atas tanah tersebut.
Kaveat pendaftar atau kaveat amanah itu akan kekal pada tanah tersebut sehinggalah ikatan amanah tadi dibatalkan.
Bagaimana nak pastikan adik beradik dapat bahagian mereka?
Untuk membolehkan setiap adik beradik itu mendapat bahagian masing-masing yang lebih terjamin di kemudian hari, mereka digalakkan membuat permohonan pecah bahagian dengan melantik juru ukur dan memfailkan permohonan pecah bahagian di pejabat tanah.
Setelah urusan pecah bahagian selesai, pejabat tanah akan mengeluarkan geran individu untuk setiap anak-anak tersebut.
Terima kasih.