Saturday, June 6, 2009




GARIS PANDUAN PERMOHONAN PEMBAHAGIAN PUSAKA KECIL
diambil dari www.scribd.com.

TUJUAN

Tujuan garis panduan disediakan ialah:-
1. Untuk memberi penerangan ringkas tentang wujudnya unit pusaka kecil di peringkat daerah di seluruh negeri di Semenanjung.
2. Untuk memberi garis panduan yang ringkas tentang tatacara tuntutan pembahagian pusaka kecil;
3. Untuk menyedarkan orang ramai betapa pentingnya pembahagian tuntutan pusaka itu dibuat secepat mungkin.

UNIT PEMBAHAGIAN PUSAKA KECIL

Seksyen Pembahagian Pusaka mempunyai 36 unit di seluruh negara. Setiap unit mengawasi dua atau tiga daerah.Bagi daerah di mana tidak wujud unit pusaka kecil, urusan penerimaan permohonan (Borang A dan Borang P) adalah dibuat melalui Pejabat Tanah di daerah-daerah berkenaan.

APAKAH HARTA PUSAKA KECIL?

Harta Pusaka Kecil ialah harta yang ditinggalkan oleh simati yang mempunyai ciri-ciri berikut:
1. Simati tidak meninggalkan wasiat ( di bawah Will Ordinance 1959 );
2. Harta itu terdiri daripada: Tanah dan lain-lain harta alih seperti wang tunai, saham, KWSP, ASN, ASB, ASJ dan sebagainya;
3. Jumlah nilai harta itu hendaklah tidak melebihi RM600,000.00 pada tarikh permohonan dibuat.

CIRI-CIRI ISTIMEWA PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA KECIL

Di antara ciri-ciri istimewa dalam pembahagian pusaka kecil ialah:
1. Borang permohonan (Borang A boleh didapati di tiap-tiap Unit Pembahagian Pusaka Kecil atau Pejabat Tanah Daerah;
2. Pembicaraan boleh diadakan di Balai-Balai Raya/ Penghulu Dewan Orang Ramai yang berhampiran dengan tanah peninggalan simati;
3. Perkhidmatan peguam tidak diperlukan;
4. Penyerahan/penerimaan hak/bahagian sesama waris boleh dibuat semasa pembicaraan dan tidak dikenakan apa-apa bayaran;
5. Pembicaraan boleh dibuat di daerah di mana wujudnya harta simati;
6. Pembahagian boleh dibuat secara terus kepada waris simati dan suratkuasa tadbir hanya diberi dalam keadaan tertentu;

CARA MEMBUAT PERMOHONAN PEMBAHAGIAN PUSAKA KECIL

Setiap permohonan untuk pembahagian pusaka kecil hendaklah dibuat dalam borang khas iaitu Borang A. Setiap permohonan mestilah disertakan dengan:
1. Bukit kematian:
i) Surat perakuan kematian/permit menguburkan; atau
ii) Surat Sumpah oleh 2 orang saksi bebas yang menyaksikan jenazah dikebumikan ( bagi kematian semasa pendudukan Jepun/ sebelumnya); atau
iii) Perintah Anggapan Kematian yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi dalam keadaan seperti kematian tanpa kubur, hilang semasa pendudukan Jepun, tragedi 13 Mei 1969, tragedi Muassem, dan
perintah ini hanya boleh didapati selepas 7 tahun dari tarikh berlakunya kejadian.
2. Salinan hakmilik yang diakui sah oleh Pejabat Tanah atau Perakuan Carian Rasmi yang menunjukkan pegangan harta tak alih simati, surat perjanjian jualbeli bagi rumah yang belum ada hakmilik yang berasingan;
3. Salinan dokumen harta-harta alih seperti salinan sijil saham, salinan buku simpanan, salinan penyata KWSP dan sebagainya (jika ada).

SIAPAKAH YANG BERHAK MEMOHON?

Di antara mereka yang berhak memohon adalah seperti berikut:
1. Waris-waris simati seperti balu lelaki atau perempuan, anak laki-laki atau perempuan, ibu atau bapa, Majlis Agama Islam (Baitulmal) dan sebagainya;
2. Pembeli di bawah surat perjanjian jual beli yang sah;
3. Pemegang gadaian atau pemegang pajakan tanah simati;
4. Penghulu atau Pegawai Petempatan yang diarahkan oleh Pentadbir Tanah;
5. Amanah Raya Berhad.

MENGHADIRI PEMBICARAAN

1. Semua dokumen asal seperti bukti kematian, hakmilik tanah, kad pengenalan, surat beranak, surat nikah, bukti-bukti harta alih dan lain dokumen yang difikirkan perlu hendaklah dibawa semasa pembicaraan
2. Semua pihak yang diminta hadir adalah dikehendaki hadir di hari pembicaraan.
3. Semua keterangan semasa pembicaraan hendaklah diberi secara bersumpah atau berikrar.

CARA HARTA PUSAKA KECIL DIBAHAGIKAN

1. Pembahagian adalah mengikut Hukum Syarak bagi orang Islam.
2. Pembahagian adalah mengikut Akta Pembahagian 1958 (Akta 300) bagi orang bukan Islam.
3. Pembahagian secara muafakat boleh dibuat jika semua waris bersetuju
4. Pembahagian bagi pegangan desa di bawah Akta Tanah (Kawasan-kawasan Penempatan Berkelompok 1960 ) tidak boleh dibuat kepada lebih dari seorang. Jika lebih dari seorang yang berhak dan mereka tidak bersetuju secara muafakat memberi kepada seorang sahaja daripada mereka, Pentadbir Tanah boleh menjual pegangan itu dan hasil jualannya dibahagikan di kalangan orang yang berhak.
5. Jika simati meningggal tanah di Daerah Jelebu, Kuala Pilah, Rembau, Tampin dan Jempul dan ianya adalah ahli sesuatu suku di Negeri Sembilan, pembahagian pusakanya adalah mengikut Bahagian III Akta.
6. Perintah jualan secara tender dikeluarkan dalam keadaan tertentu mengikut peruntukan 15(4)(d) Akta.


JANGKAMASA MEMPROSES SESUATU TUNTUTAN

1. Jangkamasa minima memproses sesuatu tuntutan kes biasa adalah dalam tempoh 4 bulan.
2. Bagi kes yang melibatkan kematian berlapis iaitu kematian waris-waris kepada simati dan harta berada di dalam daerah yang berlainan jangkamasa proses mungkin melebihi dari tempoh di atas.

RAYUAN TERHADAP PERINTAH

Mana-mana pihak yang tidak puashati dengan perintah yang dikeluarkan oleh Penolong Pengarah Pembahagian Pusaka hendaklah membuat rayuan melalui Penolong Pengarah Pembahagian Pusaka ke Mahkamah Tinggi dalam tempoh 14 hari dari tarikh perintah dibuat.

PENDAFTARAN PERINTAH PEMBAHAGIAN

1. Setelah perintah pembahagian dikeluarkan, pihak waris hendaklah mengemukakan hakmilik tanah/Geran ke Pejabat Tanah berkenaan untuk tujuan pendaftaran perintah pembahagian tersebut.
2. Bagi maksud pembahagian harta alih, pihak waris hendaklah mengemukakan perintah pembahagian kepada agensi/institusi yang bertanggungjawab terhadap harta alih tersebut.

PERMOHONAN YANG KEMUDIAN

1. Ianya adalah satu permohonan yang dibuat selepas permohonan awal diselesaikan.
i) Permohonan yang kemudian boleh dibuat dalam keadaan berikut:
 Ada harta yang tertinggal di dalam permohonan awal;
 Apabila perlu melantik seorang pemegang amanah yang baru;
 Apabila perlu melantik seorang pentadbir yang baru;
 Untuk membatalkan suratkuasa tadbir dan pembahagian dibuat secara terus kepada waris simati;
 Untuk menarik balik sesuatu kaveat pendaftar;
2. Setiap permohonan yang kemudian boleh dibuat dengan menggunakan Borang P


BAYARAN-BAYARAN YANG DIKENAKAN

1. Bayaran Pendaftaran:
i) RM10.00 bagi permohonan baru (Borang A)
ii) RM10.00 bagi permohonan yang kemudian (Borang P)

2. Bayaran Selepas Pembicaraan:
i) RM10.00 bagi bayaran perintah;
ii) Bayaran mendaftarkan perintah dalam hakmilik tanah (geran) jumlahnya mengikut peraturan-peraturan tanah negeri;
iii) Duti Harta Pusaka – jika ada akan ditentukan di akhir pembicaraan mengikut nilai harta pada tarikh mati. Jumlah yang dikenakan tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Duti Harta Pusaka 1941;
iv) Salinan perintah pembahagian dibekalkan secara percuma bagi salinan pertama dan RM2.00 bagi tiap-tiap salinan yang diperlukan seterusnya;
v) Salinan perintah pembahagian yang diperlukan oleh mana-mana orang selain daripada pentadbir/waris dikehendaki membayar RM10.00 bagi salinan pertama dan RM5.00 bagi salinan kedua dan setiap salinan seterusnya.
3. Sekiranya ada rayuan ke Mahkamah Tinggi bayaran yang akan dikenakan adalah seperti berikut:
i) RM50.00 bagi bayaran rayuan;
ii) RM1,500.00 bagi bayaran pertaruhan rayuan (deposit)
iii) Bayaran menyediakan salinan catatan pembicaraan dan dokumen lain yang berkaitan sebanyak RM5.00 setiap folio seratus perkataan atau sebahagian daripadanya bagi salinan pertama dan RM2.50 bagi salinan berikutnya.
iv) Bayaran untuk mendapatkan salinan catatan pembicaraan dan dokumen lain yang berkaitan sebanyak RM5.00 setiap folio seratus perkataan atau sebahagian daripadanya bagi salinan pertama dan RM2.50 bagi salinan berikutnya.

MENGAPA PERMOHONAN PUSAKA PERLU DIBUAT SEGERA?

1. Mengelakkan bilangan waris yang ramai akibat daripada kematian berlapis.
2. Memudahkan proses pembahagian pusaka.
3. Membolehkan harta pusaka dimanfaat dengan segera bagi faedah semua waris
4. Mengelakkan berlakunya tanah terbiar.
5. Mengelakkan wang simpanan simati dalam mana-mana institusi kewangan, atau koperasi, saham-saham, bon daripada dipindahkan kepada Pendaftar Wang Tak Dituntut.
 
javascript:void(0)