Laksanakan Pusaka/Faraid Sebelum Terlambat
Info dari Facebook Pejabat Daerah & Tanah Kerian ~ https://m.facebook.com/pdtkerian/photos/a.363517447090880.1073741828.362341097208515/1195337337242216/?type=3
LAKSANAKAN PUSAKA/FARAID SEBELUM TERLAMBAT
Statistik kerajaan sehingga tahun 2007 menganggarkan terdapat lebih 1 juta tanah milik yang nilainya mencecah RM52 billion masih lagi dimiliki oleh orang yang telah meninggal dunia. Hal ini menyebabkan pengurusan tanah menjadi tidak efektif, hilang nilai komersial atau erti kata lain disebut sebagai ‘tanah beku’. Antara faktor terjadinya perkara ini ialah kerana kurangnya pemahaman masyarakat terhadap peri pentingnya membahagikan harta pusaka selepas kematian pemilik tanah yang terlibat. Sempena menyambut Syawal yang bakal mendatang, rencana ringkas pada kali ini ingin menggariskan kepentingan pembahagian harta si mati.
Proses pembahagian pusaka khususnya di kalangan masyarakat Islam Melayu sering dimomokkan dengan berbagai-bagai perkara yang tidak patut. Sekiranya seseorang meninggal dunia dah waris-warisnya melaksanakan pusaka dengan kadar segera, mereka ini sering ditohmah sebagai orang yang tamakkan harta, tidak sabar-sabar untuk menjual tanah pusaka dan sebagainya. Seperti lazimnya kata-kata orang “tanah kubur masih merah sudah mahu rebut harta”. Tanggapan ini sebenarnya salah kerana tindakan menyegerakan penyelesaian pusaka adalah bertepatan dengan tuntutan agama dan undang-undang. Bayangkan sekiranya anda masih menduduki tanah yang sepatutnya dibahagikan secara hukum syarak kepada orang yang berhak, maka dari sisi agama anda telah melakukan dosa yang besar terutamanya apabila melibatkan hak anak yatim yang masih kecil.
Pentadbir-Pentadbir Tanah sentiasa menerima aduan berkenaan harta pusaka yang masih belum dibahagikan. Antara aduan yang selalu diterima ialah ada individu yang tidak berhak telah menduduki tanah berkenaan, tuntutan dari orang lain yang mendakwa sebagai waris, pergaduhan saudara-mara, perebutan panggu, waris yang berhak sudah tidak dapat dihubungi kerana telah berpindah tanpa kesan atau kesukaran mendapatkan pampasan (sekiranya tanah diambil oleh kerajaan). Sebenarnya masalah-masalah ini boleh dielakkan sekiranya prosedur pembahagian pusaka dilaksanakan dengan segera oleh waris-waris yang terlibat. Anda boleh membayangkan jika berlaku kematian berganda, sebagai contoh tanah kepunyaan datuk yang patut diwariskan kepada nenek, bapa, bapa saudara dan ibu saudara. Kemudiannya si nenek, bapa dan ibu saudara meninggal dunia tanpa sempat membahagikan pusaka si datuk, maka prosedur pusaka akan menjadi lebih rumit dari yang sepatutnya. Kami percaya bahawa sebahagian dari anda sedang dan akan mengalami masalah ini.
Oleh yang demikian, Pentadbir-Pentadbir Tanah ingin menasihatkan kepada anda bahawa laksanakanlah pusaka segera selepas kematian orang yang tersayang. Sempena menyambut Syawal yang mulia di mana sanak saudara berkumpul dengan mesra, ini adalah masa yang sesuai untuk anda membincangkan pembahagian pusaka secara muhibbah sebelum segalanya terlambat. Pedulikanlah kata-kata nista dari masyarakat yang tidak memahami, kerana tindakan anda sebenarnya adalah baik di sisi agama dan undang-undang negara. Untuk mendapatkan khidmat nasihat secara percuma, anda boleh mengunjungi Pejabat Pembahagian Pusaka Kecil di mana-mana daerah, atau jika tiada pejabat berkenaan di daerah tempat tinggal, hadirlah ke Pejabat Tanah di mana lokasi tanah itu terletak.
Sebagai tambahan, layarilah laman web www.jkptg.gov.my untuk panduan lokasi pejabat dan memuatturun borang-borang yang berkaitan. Semoga dengan penyegeraan pesaka dapat menghindarkan fitnah kepada waris-waris dan si mati.
KENYATAAN PENTING : Penerangan di atas adalah sangat ringkas bagi memudahkan kefahaman kepada masyarakat yang tidak mengetahui prosedur undang-undang tanah. Terdapat prosedur-prosedur teknikal yang tidak dinyatakan dan anda dinasihatkan untuk mendapatkan pandangan dari Pejabat Tanah berkaitan.
Friday, June 16, 2017
Sunday, June 4, 2017
Subscribe to:
Posts (Atom)